Kit Siang terkejut dihalau penduduk, Malaysia belum amal politik bebas - COPY DAILY

COPY DAILY

Gapaian Rasa Dunia Kini

test banner

Post Top Ad

Responsive Ads Here

Kit Siang terkejut dihalau penduduk, Malaysia belum amal politik bebas

Share This
PETALING JAYA: Lim Kit Siang menyifatkan insiden beliau dan wakil pemimpin Pakatan Harapan (PH) dihalau penduduk Kampung Bakar Batu di Johor Bahru, malam tadi, menunjukkan Malaysia masih ketinggalan dalam amalan demokrasi berparlimen.

Ketua Parlimen DAP itu yang kesal dan terkejut dengan insiden itu, meminta Tan Sri Shahrir Samad menyuarakan pendirian dan penjelasan berhubung kejadian yang berlaku di kawasan Parlimen diwakilinya sejak 1978.

“Jika ini berlaku 50 dan 60 tahun lepas, ia tidak mengejutkan.

“Ini menunjukkan hakikat Malaysia masih ketinggalan bukan sahaja di belakang negara barat seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eropah, tetapi juga negara Asia seperti Jepun, India, Korea Selatan, Taiwan, Filipina dan Indonesia dalam mengamalkan demokrasi berparlimen,” katanya dalam catatan di blognya hari ini.

Semalam, lebih 50 penduduk menghalau Lim yang pertama kali menjejakkan kaki ke Kampung Bakar Batu dan memaksa Program Sembang Santai Warung dibatalkan selepas berlaku kekecohan dan pemilik warung itu dikatakan tidak dapat meminjam premisnya kepada penganjur disebabkan “tekanan”.

Keadaan dilaporkan bertukar tegang apabila seorang ustaz tampil bersama penduduk kampung untuk menghalang Lim dan rombongannya, serta disusuli tindakan beberapa individu melaungkan “Saya penduduk kampung di sini, jangan kritik Umno”.

Turut hadir di tempat kejadian adalah wakil pemimpin Pakatan Harapan (PH), termasuk Setiausaha PH dan PPBM Johor, Datuk Osman Sapian, Adun Stulang, Andrew Chen Kah Eng, Adun Pengkalan Rinting, Cheo Yee How dan Ketua PKR Cawangan Johor Bahru, Akmal Nasir.

Lim berkata, negara juga masih jauh daripada amalan politik bebas.

“Kita masih ketinggalan untuk melihat di mana orang ramai boleh mengubah kerajaan melalui peti undi tanpa mana-mana amaran atau tidak memainkan sentimen perkauman,” katanya yang sudah 5 dekad menjadi ahli politik.


Penasihat DAP itu turut menafikan beliau pernah menuduh Umno atau mana-mana presiden Umno dan perdana menteri sebagai anti kaum atau agama lain.

“Kenapa? Ini kerana sebagai pemimpin politik, kita perlu menjadi contoh untuk berusaha menjadi wakil rakyat kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

“Itu sebabnya saya boleh bekerjasama dengan 3 bekas perdana menteri selepas persaraan mereka, iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad – di mana tempoh mereka menjadi perdana menteri selama 40 daripada 60 tahun sejarah negara.

“Saya mungkin mempunyai perbezaan politik dengan Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn and Tun Mahathir Mohamad apabila mereka menjadi perdana menteri, tetapi saya tidak pernah menuduh mereka anti-Cina, anti-India, anti-Kristian, anti-Buddha, anti-Hindu atau anti-Sik, kerana pemimpin politik sama ada dari kerajaan atau pembangkang perlu menjadi pemimpin semua rakyat Malaysia!”

Lim berkata, kenyataan beberapa pemimpin Umno yang orang Melayu akan kehilangan kuasa politik jika Umno tewas pada pilihan raya umum (PRU) juga tidak benar.

Beliau sebaliknya menggesa pemimpin Umno berhenti menyebarkan maklumat palsu untuk menakutkan rakyat kerana 3 faktor akan meneruskan penguasaan orang Melayu dalam politik negara.

Katanya, populasi Melayu yang terdiri daripada 49.8% pada 1957 meningkat kepada 55.07% pada 2010 berbanding populasi Cina dan India yang terus merosot.

Lim berkata, pada PRU13, 52.63% daripada pengundi terdiri daripada Melayu, Cina 29.68%, India 7.31%, bukan Bumiputera Melayu 8.96% dan kaum lain 1.43%.

“Daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjug Malaysia, 114 kerusi majoriti Melayu yang mewakili kira-kira 70%, 22 kerusi majoriti Cina (13%) dan 29 kerusi campuran. Tiada satu pun kerusi majoriti India.

“Realiti demografi adalah jaminan orang Melayu tidak akan kehilangan kuasa politik, tidak kira apa yang berlaku kepada (Datuk Seri) Najib (Razak) atau Umno pada pilihan raya umum akan datang, kerana orang Melayu di Malaysia akan terus melaksanakan kuasa politik di Malaysia dan tiada cara mereka akan kehilangan kuasa politik.”-http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/02/11/kit-siang-terkejut-dihalau-penduduk-malaysia-belum-amal-politik-bebas/

No comments:

Post Bottom Ad

Responsive Ads Here

Pages