Cukai merupakan bayaran yang dikenakan oleh kerajaan terhadap orang
perseorangan, perbadanan, syarikat dan barang-barang untuk perbelanjaan negara.
(Kamus Dewan, 1997). Cukai barang dan perkhidmatan (CBP) adalah cukai
kepenggunaan yang berdasarkan konsep nilai tambah.
Di sesetengah negara cukai ini
dikenali sebagai cukai nilai tambah (VAT). CBP mula dilaksanakan di negara Perancis
seawal tahun 1950-an dan telah dilaksanakan oleh 160 buah negara dunia. Di Asia
tenggara, hanya dua buah negara iaitu Myanmar dan Brunei Darussalam yang belum
melaksanakannya.
Malaysia secara rasmi telah melaksanakan cukai ini berkuatkuasa
pada 1 April 2015 yang lalu. Cukai ini telah menggantikan cukai jualan di bawah Akta
Cukai Jualan 1972 iaitu merangkumi cukai sebanyak 5 hingga 10 peratus dan Akta
Cukai Perkhidmatan 1975 iaitu mencakupi 6 peratus cukai. Kedua-dua cukai ini
dimansuhkan dan digantikan dengan CBP yang hanya dikenakan cukai sebanyak 6
peratus.
CBP adalah sistem percukaian yang popular di seluruh dunia kerana lebih 90
peratus masyarakat antarabangsa tinggal di negara yang mengamalkan sistem CBP.
Antara kelebihan CBP ialah cukai ini tidak membebankan pengguna dan
golongan berpendapatan rendah.
Hal ini demikian kerana rakyat hanya perlu membayar
cukai sebanyak 6 peratus ketika menjamu selera di restoren berbanding cukai
perkhidmatan yang tinggi dan hasilnya akan dikembalikan kepada rakyat melalui
pelbagai projek pembangunan seperti pembinaan jalan raya, sekolah, hospital dan
sebagainya. Contohnya, Berita Harian melaporkan selain memberi faedah kepada
golongan berpendapatan rendah, kerajaan juga telah memberikan jaminan tidak akan
mengenakan atau mengecualikan cukai ke atas barangan keperluan tertentu seperti
produk pertanian dan makanan asas seperti beras, gula dan minyak masak
2
termasuklah perkhidmatan perubatan, kewangan, pengangkutan awam dan pendidikan.
Contoh lain, Ketua Pangarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Seri Khazali
Ahmad berkata, CBP dijamin tidak akan membebankan pengguna dan hasilnya akan
dikembalikan semula kepada rakyat melalui pelbagai projek pebangunan. Jaminan
daripada kerajaan juga disuarakan oleh belia bahawa pelaksanaan CBP tidak akan
membebankan rakyat.
Di samping itu, CBP ialah cukai yang lebih telus dan adil. Hal ini demikian kerana
pengguna hanya perlu membayar cukai pada kadar 6 peratus di peringkat peruncitan
berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (CJP) yang mengakibatkan pengguna
perlu membayar cukai bertindih dan berganda malah terdapat cukai yang mencecah
angka 10 peratus.
Contohnya, Berita Harian melaporkan CBP lebih telus iaitu apabila
peniaga dikehendaki menunjukkan cukai yang dikenakan dalam invois jualan manakala
pengguna akan mengetahui jumlah cukai yang dibayar ke atas barangan dan
perkhidmatan yang dibeli. Tambahan pula, ketelusan CBP juga dapat mengelakkan
cukai berganda.
Keadaan ini berkaitan bahan mentah yang dikenali sebagai kredit cukai
input. Hal ini bermakna, jika cukai pengeluaran melebihi cukai input, perbezaannya
dibayar kepada kerajaan. Manakala jika cukai input melebihi cukai output, peniaga
boleh menuntut balik cukai daripada kerajaan. Jumlah CBP yang dibayar oleh
pengguna akan dipaparkan dalam bil yang diberikan kepada pengguna. Contoh lain,
Berita Harian turut memetik kenyataan Datuk Ahmad Maslan yang menyatakan CBP
adalah cukai yang lebih adil dan telus kerana pengguna hanya membayar pada kadar
6 peratus di peringkat peruncitan berbanding CJP yang mengakibatkan pengguna
membayar cukai bertindih dan berganda. Tambahan pula, terdapat CJP yang dibayar
3
hingga mencecah angka 10 peratus. Sehubungan itu, CBP akan mengelakkan
pengguna membayar cukai berganda kerana cukai ini lebih telus.
Sektor pelancongan akan berkembang dengan lebih pesat. Hal ini demikian
kerana pelancong akan dapat menikmati skim bayaran balik cukai ke atas pembelian
barangan dan pekhidmatan. Komuniti perniagaan juga boleh menuntut cukai input di
bawah skim fasilitasi CBP.
Pelaburan langsung asing (FDI) dapat diperhebatkan kerana
disokong oleh iklim mudah perniagaan.
Contohnya, Berita Harian melaporkan terdapat satu mekanisma khas yang dirangka bagi menggalakkan industri pelancongan negara.
Model ini dikenali sebagai Skim Bayar Balik Pelancong atau Tourist Refund Scheme
(TRS) yang berupa insentif pemulangan CBP kepada pelancong yang berbelanja di
Malaysia untuk barang-barang yang ingin dibawa pulang bersama mereka iaitu
mengikut terma-terma yang ditetapkan.
Sementara itu, skim ini berpotensi untuk menarik minat pelancong asing yang memiliki kemampuan berbelanja yang tinggi dan berupaya melipat gandakan pulangan ekonomi kepada sektor-sektor yang berkaitan secara langsung dengan industri pelancongan apabila CBP dilaksanakan kelak.
Selain itu, CBP menyebabkan sektor eksport negara menjadi lebih kompetitif.
Hal ini demikian kerana tiada cukai terselindung dalam barangan eksport dan kos
menjalankan perniagaan lebih rendah memandangkan CBP bukan adalah kos kepada
peniaga berdaftar.
Kerajaan dijangka mengenakan kadar CBP yang lebih rendah
daripada kadar CJP.
Pada masa kini terdapat tiga kadar bagi cukai jualan iaitu 5
peratus, 10 peratus dan 20 peratus manakala kadar cukai bagi cukai perkhidmatan pula
adalah 6 peratus. Contohnya, Berita Harian melaporkan, kadar yang diumumkan oleh
4
Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2014 hanya dikenakan sebanyak 6
peratus.
Kadar yang diumumkan itu adalah lebih kompetitif jika dibandingkan dengan
kebanyakan negara di dunia seperti Vietnam, kemboja, Filipina, Indonesia dan Laos
pada kadar 10 peratus manakala Singapura dan Thailand pada kadar 7 peratus.
Sistem ini dapat meningkatkan pendapatan negara untuk faedah rakyat dan
pembangunan negara.
Hal ini demikian kerana sistem cukai yang berkesan akan
menjamin kesejahteraan rakyat melalui pelbagai projek pembangunan di luar bandar.
Peruntukan untuk pembangunan di luar bandar akan ditingkatkan untuk manfaat rakyat
setelah CBP dilaksanakan.
Menerusi pelaksanaan CBP, kerajaan dapat meningkatkan
pendapatan yang seterusnya disalurkan untuk tujuan pembangunan negara
terutamanya di kawasan luar bandar. Hasil pendapatan kerajaan khususnya akan
digunakan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur negara seperti pembinaan
jalan raya, hospital, sekolah, klinik kesihatan, lampu jalan, bekalan elektrik dan
sebagainya.
Perkara yang lebih penting adalah janji kerajaan untuk berkongsi kekayaan
negara untuk kebajikan segenap lapisan rakyat seperti pemberian bantuan kewangan,
perkhidmatan kesihatan, subsidi pendidikan, perumahan dan sebagainya.
Contohnya,Harian Metro melaporkan kerajaan pusat telah meluluskan sejumlah RM300 juta untuk
membaiki jalan balak yang sudah usang di Baram, Sarawak untuk dijadikan jalan
perhubungan rakyat. Perdana Menteri juga telah meluluskan peruntukan sebanyak
RM26.6 juta untuk penyambungan bekalan elektrik dari stesen hidro mini di Long
Banga.
5
Melalui sistem ini, Indeks Harga Pengguna (IHP) juga berpotensi mengalami
penurunan. Hal ini demikian kerana IHP adalah penting untuk meramal turun naik harga
barangan di pasaran.
IHP berpotensi mengalami penurunan sebanyak 8 hingga 10
peratus kerana dalam keadaan tertentu kebanyakan barangan dan perkhidmatan yang
digunakan akan mengalami penurunan harga. Contohnya, Berita Harian melaporkan
kajian secara empirikal ke atas 689 produk pengguna telah dibuat.
Dapatan kajian mendapati hanya 10 peratus daripada senarai produk pengguna mungkin mengalami
sedikit kenaikan harga. Dapatan kajian juga menunjukkan 90 peratus daripada senarai
produk pengguna sama ada tiada perubahan harga atau harga dapat diturunkan.
Contoh lain, Sinar Harian melaporkan, menurut Prof Dr. Faridah Hassan, apabila sistem
CBP dilaksanakan tahun hadapan, 10 peratus barangan dan perkhidmatan sahaja akan
berlaku kenaikan harga manakala 40 peratus pula harga turun dan 50 peratus tiada
perubahan harga.
CBP menyumbang ke arah kestabilan negara. Hal ini demikian kerana sistem CBP akan menjamin kemakmuran dan kestabilan negara iaitu sebagai panduan terbaik untuk bersama-sama menyokong dan membantu mengukuhkan kestabilan negara. Kita sebagai rakyat Malaysia yang telah melaksanakan sistem cukai ini perlu melihat dari sudut dan skop yang lebih luas serta jangka panjang mengenai CBP khususnya ke arah kestabilan negara.
Contoh yang dipetik dari Berita Harian melaporkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sejak melaksanakan sistem cukai ini, semua negara terlibat tidak berhadapan sebarang masalah dan terus mengecapi kemajuan.
Keadaan ini meliputi 160 buah negara yang melaksanakan sistem CBP yang sehingga kini tiada sebarang masalah dihadapi. Beliau
juga menambah, semua sudah selesai apabila rang undang-undang itu mendapat
sokongan besar dan diluluskan oleh parlimen. Kelebihan CBP yang lain ialah efektif berbanding CJP.
Pengumuman kerajaan mengenai cadangan pelaksanaan sistem CBP menimbulkan pelbagai reaksi daripada rakyat terutama golongan belia. Pelbagai maklum balas sama ada positif dan negatif
telah diluahkan berkenaan pengumuman terbabit.
Contohnya, Berita Harian melaporkan golongan belia harus memahami CBP adalah sumber hasil yang stabil berbanding hasil daripada cukai pendapatan. Memang tidak dinafikan CBP adalah
sistem percukaian yang lebih efisien dan efektif sekali gus membolehkan sektor
ekonomi yang terselindung akan terdorong untuk menyertai CBP.
Selain itu, pelaksanaan CBP dapat mengurangkan kos operasi perniagaan. Hal ini demikian
kerana peniaga yang berdaftar boleh menuntut cukai ke atas CBP yang dibayar ke atas
input perniagaan.
Oleh itu, pelaksanaannya dapat menawarkan harga barangan dengan harga yang lebih berpatutan. Berita Harian melaporkan bagi komuniti perniagaan, CBP tidak akan menjadi sebahagian daripada kos barang yang dijual.
Keadaan ini demikian kerana sebarang caj CBP yang terdapat di dalam invois jualan
(CBP Output) atau belian (CBP Input) tidak ditanggung oleh peniaga.
Layanan perakaunan ini tidak sama seperti CJP kerana CJP adalah kos kepada perniagaan.
Oleh itu, melalui pemansuhan CJP, kos jualan sesuatu perniagaan akan dapat
dijimatkan. Keadaan ini akan memberi impak kepada pasaran sekiranya perniagaan
tersebut menyalurkan kembali penjimatannya kepada rakyat.
Sementara itu, CBP dapat mengurangkan kerenah birokrasi. Hal ini demikian
kerana CBP adalah sistem cukai yang berkonsepkan kawalan kendiri dan peniaga
berdaftar tidak perlu membuat permohonan untuk mendapat kelulusan tuntutan cukai
input daripada kastam berbanding CJP iaitu peniaga perlu mendapatkan kelulusan
untuk pengecualian cukai.
Melalui pelaksanaan CBP, kerajaan akan memiliki sumber hasil yang lebih berdaya saing dan boleh diramal. Hal ini akan mendorong kerajaan menyalurkan lebih banyak dana bagi pembangunan negara dan kebajikan rakyat.
Tambahan pula, sistem CBP lebih mantap dan stabil.
Hal ini demikian kerana kebanyakan negara telah melaksanakan peralihan cukai sedia ada kepada cukai kepenggunaan ini. Negara yang terlalu bergantung kepada cukai selain CBP boleh terjejas jika berlaku keadaan ekonomi berubah sedangkan cukai bercorak kepenggunaan tidak berubah.
Hal ini demikian kerana sistem CBP lebih stabil dan mantap berbanding dengan sistem cukai lain. Buktinya sebanyak 160 negara di dunia telah beralih kepada cukai ini.
Di Asia Tenggara hanya dua buah negara yang masih belum melaksankan cukai ini iaitu Brunei Darussalam dan Myanmar. Malaysia telah beralih kepada cukai ini berkuatkuasa pada 1 April 2015, Brunei Darussalam mungkin tidak melaksanakan cukai ini dan Myanmar masih dalam kajian dan penelitian.
Antara kelebihan lain sistem ini ialah dapat mempelbagaikan hasil negara selain cukai pendapatan dan hasil petroleum, mengurangkan perbelanjaan isi rumah, cukai individu dan korporat, rakyat lebih berhemat dalam berbelanja, manfaat dalam bentuk nilai wang, dapat membendung pelbagai ketirisan di sepanjang rantaian bekalan pengeluaran barangan dan mengekang pemindahan harga dan aktiviti penyeludupan sekali gus membolehkan kerajaan mengutip cukai lebih tinggi dalam jangka panjang, CBP mampu mengekang aktiviti mengelak cukai secara kolektif, merangsang kemasukan pelabur iaitu banyak peluang pekerjaan akan terhasil daripada peningkatan jumlah pelaburan yang masuk ke dalam Malaysia kerana rangsangan kadar cukai pendapatan syarikat yang rendah, memperoleh manfaat dalam bentuk nilai wang seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),peningkatan taraf hidup yang lebih selesa melalui pelbagai bentuk pembangunan yang bakal dilaksanakan seperti
penyediaan infrastruktur kemasyarakatan yang lengkap, merangsang pertumbuhan ekonomi domestik, meningkatkan daya saing negara kepada pelaburan global, kurang terdedah kepada risiko turun naik ekonomi atau kebergantungan kepada sumber minyak dan gas yang mempunyai jangka hayat yang terhad, meningkatkan pematuhan dan memberi kesaksamaan.
Antara kekurangan CBP ialah pengguna berdepan kenaikan harga sesetengah barangan. Fenomena ini memang tidak dapat dielakkan kerana pengguna akan berasa sedikit terbeban di awal pelaksanaannya tetapi harga akan kembali stabil dalam jangka masa tertentu jika pelaksanaannya berjalan lancar.
Contohnya, hal ini dijelaskan oleh Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan melalui Berita Harian, CBP akan memberi kesan langsung kepada kenaikan harga barangan tetapi berada pada tahap minimum iaitu sekitar 1.8 peratus.
Selain itu, CBP yang rumit akan menjejaskan pelaksanaannya. Hal ini demikian kerana CBP yang kompleks mempunyai terlalu banyak kadar dan pengecualian yang akan memberi kesan negatif kepada sistem percukaian apabila dilaksanakan kelak.
Contohnya, Berita Harian melaporkan Pengurus Dasar VAT Kanan HM Revenue & Customs atau pihak berkuasa cukai UK, Andrew Webb berkata, sistem CBP yang rumit akan menjejaskan pelaksanaannya walaupun cukai itu adalah struktur percukaian terbaik dunia. CBP yang mudah perlu bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya kelak.
Sementara itu, CBP akan menyebabkan berlakunya eksploitasi terhadap harga barangan. Hal ini demikian kerana wujudnya pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin mengaut keuntungan yang berganda.
Contohnya, memetik laporan Berita Harian, peniaga dan korporat akan mengambil kesempatan menaikkan harga barang bagi mengaut keuntungan dan pengguna menjadi mangsa eksploitasi harga.
Musim perayaan menjadi faktor kenaikan harga barangan dan peranan orang tengah juga
menjadi penyumbang kerana mereka akan mendapat keuntungan besar daripada pengeluar dan pengguna.
Sementara itu, tidak berapa pasti sejauh mana kebenarannya, kerajaan Parti Progresif Konservatif pimpinan Perdana Menteri Brian Mulroney di Kanada tumbang pada 1993 apabila memperkenalkan CBP pada 1989.
Keburukan atau cabaran yang perlu diutamakan ialah kadar atau peratusan rakyat yang
dapat memahami CBP.
Kaedah tertentu harus digunakan untuk menyalurkan maklumat
kepada rakyat supaya mudah difahami.
Terdapat pelbagai kaedah yang digunakan untuk menyalurkan maklumat tentang sistem CBP kepada rakyat agar tidak diputar belitkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
CBP dapat ditangani dengan baik apabila rakyat dapat memahami secara mendalam tentang dasar ini. Ketidakfahaman tentang dasar ini akan menyukarkan pelaksanaannya dan banyak tentangan akan timbul dalam kalangan rakyat.
Berdasarkan laporan akhbar Berita Harian, antara kaedah untuk membentuk pemahaman rakyat terhadap dasar ini ialah kerajaan telah membuat temu janji dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk diberi latihan dalam membantu memberikan penerangan pelaksanaan CBP kepada rakyat. Selain itu, kerajaan juga telah menganjurkan sesi dialog yang efektif antara pemimpin dan rakyat agar membolehkan setiap persoalan dapat dirungkai dan dijelaskan hingga ke akar umbi.
Kerajaan juga melalui Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menggembleng sinergi dengan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) bagi menyebarluaskan CBP dalam langkah advokasi pelaksanaan CBP.
Disamping itu, ketelusan kerajaan dalam memberikan penjelasan terhadap penggunaan
CBP supaya rakyat memahami ke mana hasil cukai disalurkan dan bagaimana hasil
dibelanjakan. Selain itu, media sosial digunakan bagi memberi maklumat berhubung
CBP kepada rakyat khususnya golongan belia.
Kerajaan perlu mengadakan lebih banyak pertemuan dan perbincangan dengan komuniti perniagaan serta persatuan perdagangan bagi memastikan pelaksanaannya mudah dan berkesan.
Seterusnya, kaedah yang digunakan adalah menerusi taklimat kepada masyarakat untuk membina pemahaman mereka terhadap keperluan sistem CBP.
Hal ini demikian kerana masyarakat masih kabur tentang gambaran sistem CBP yang telah
dilaksanakan. Contohnya, Sinar Harian melaporkan tentang pembentangan Taklimat
Isu Semasa Di Auditorium Jabatan Penerangan Negeri Johor.
Program berkenaan dihadiri oleh 500 orang yang diberi taklimat mengenai CBP oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Tambahan pula, kesemua peserta program yang terdiri daripada pelajar kolej dan agensi kerajaan turut diberi peluang bertanya menerusi sesi dialog untuk menjelaskan sebarang kekeliruan.
Kesimpulannya, CBP merupakan cukai yang sangat membantu rakyat dan kerajaan untuk mencapai Wawasan 2020. Kekurangan maklumat tentang sistem CBP akan menyebabkan orang ramai tidak dapat memahami sistem berkenaan.
Apabila rakyat gagal memahami sistem ini, mereka akan membuat andaian yang kurang tepat
dan memberi persepsi negatif terhadap sistem CBP yang telah dilaksanakan oleh kerajaan berkuatkuasa pada 1 April 2015.
Cukai ini juga membantu kerajaan menjadikan negara sebagai sebuah negara yang berpendapatan tinggi.
Kementerian Kewangan Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah menyediakan talian untuk sebarang pertanyaan melalui 1300-888-500 dan 03-8882 2111 atau melayari laman sesawang www.gst.customs.gov.my untuk keterangan lanjut.
Sebagai rakyat Malaysia, sokonglah kerajaan mencapai kegemilangan demi kelangsungan generasi
akan datang.
RUJUKAN
Ainul Fatihah Mansor. (2014, 7 Jun). Tunggu keputusan kabinet. Berita Harian: 24
Azlina Othman. (2014, 23 Mei). Kos hidup naik punca tolak GST. Sinar Harian: 15
Dr. Mohamad Saprin. (2014, 16 April). GST lebih cekap, telus, mesra perniagaan.
Berita Harian: 28
Dr. Norma Mansor. (2014, 21 Mei). GST bukan punca harga barang naik. Berita Harian:
26
Dr. Shalihen Mohd Salleh. (2014, 2 Jun). Faham prinsip GST hinder sangkaan negatif:
Rakyat kurang maklumat mudah ditipu pihak tidak bertanggungjawab. Berita
Harian: 28-29
Dr. Shalihen Mohd Salleh. (2014, 29 Mac). GST elak cukai berganda: Bayaran lebih
telus manfaat rakyat, tingkatkan hasil pendapatan kerajaan. Berita Harian: 42
Faiza Zainudin, Fairuz Zaidan & Norakmah Mat Youb. (2014, 8 April). Rang undangundang
GST 2014 dilulus. Berita Harian: Dewan Rakyat 17
Kamus Dewan (1997). Ed Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Khairul Anwar Abdul Samad. (2014, 8 April). GST tak bebankan pengguna: Hasil
dikembalikan semula kepada rakyat melalui pelbagai projek pembangunan.
Berita Harian: 23
13
Mahanum Abdul Aziz. (2014, 15 Mac). Syarikat terbabit GST perlu daftar Mei. Berita
Harian: B3
Mohd Azrone Sarabatin, Halina Mohd Noor & Fairuz Zaidan, (2014, 25 Mac). 255
produk dikaji untuk dimasuk atau dikecuali GST. Berita Harian: 16
Nazura Ngah,Halina Mohd Noor & Norakmah Mat Youb. (2014, 1 April). Perkhidmatan
dibekal pusat dikecuali GST. Berita Harian: 14
Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL). (2014, 10 Mac). Rasional
perlaksanaan GST. Berita Harian: R16
Robiatuladawiyah Abd Rashad & Noor Ainulyakin Mohamad Ishak. (2014, 23 Mei).
GST: Siapa untung siapa rugi. Sinar Harian: 39-42
Saufi Hamzah. (2014, 8 April). Kerajaan perlu masuk IPT perjelas pelaksanaan GST.
Berita Harian: 29
Shaarani Ismail. (2014, 6 April). GST lebih adil, telus: Rakyat hanya perlu bayar satu
cukai sahaja. Berita Harian: 16
Shamran Sarahan. (2014, 13 Jun). Rakyat luar Bandar dapat manfaat. Harian Metro: 17
Siti A’isyah Sukaimi. (2014, 18 April). Pantau kesan GST: Kabinet arah KPDNKK
pastikan pelaksanaan pada 2015 tidak beban rakyat. Harian Metro: 22
14
Suffian A Bakar. (2014, 27 Februari). Sistem mudah pastikan GST capai matlamat.
Berita Harian: B1Syalikha Sazili. (2014, 14 April). GST dilaksana 160 negara panduan terbaik. Berita Harian: 8.- http://pintu.instun.gov.my/assets/file/attachment/z5BbO1Or0kO1GClHvBN7o5CLIFS4u6Ap.pdf
Post Top Ad
Responsive Ads Here
Post Bottom Ad
Responsive Ads Here
Author Details
Templatesyard is a blogger resources site is a provider of high quality blogger template with premium looking layout and robust design. The main mission of templatesyard is to provide the best quality blogger templates which are professionally designed and perfectlly seo optimized to deliver best result for your blog.
No comments:
Post a Comment